BERITA SEMASA

Projek bina Hospital Maran tidak diteruskan buat masa ini

MARAN – Projek pembinaan Hospital Maran yang sebelum ini diluluskan dengan kos RM350 juta tidak diteruskan buat masa ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebaliknya berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada pengukuhan klinik sedia ada dan penjagaan kesihatan primer.

Beliau berkata, keputusan untuk untuk menangguhkan pembinaan hospital itu dibuat selepas pihaknya mendapati, kadar penggunaan katil di hospital berhampiran masih rendah dan belum mencapai tahap mendesak, lapor BH Online.

Beliau memberitahu, setakat ini kadar penggunaan di Hospital Jengka adalah sekitar 57 peratus, manakala Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh mencatat kira-kira 63 peratus, menunjukkan fasiliti sedia ada masih mampu menampung keperluan pesakit.

“Dari sudut penggunaan, belum sampai ke tahap memerlukan kita membangunkan hospital baharu di setiap daerah,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Pahang di Klinik Kesihatan Maran, di sini hari ini.

Bagaimanapun, bagi menampung keperluan penjagaan kesihatan penduduk, Kementerian Kesihatan (KKM) memberi fokus kepada Klinik Kesihatan Maran Type 4, termasuk memperkasakan perkhidmatan kecemasan, katil pesakit dalam serta Emergency Birthing Centre (EBC).

Walaupun jumlah kelahiran di kawasan itu dianggap rendah, perkhidmatan EBC tetap penting demi akses rawatan segera tanpa perlu ke hospital jauh.

“Paradigma kita ialah memperkukuh penjagaan kesihatan primer melalui klinik kesihatan sebagai tunjang penjagaan kesihatan sebelum pesakit memerlukan rawatan hospital,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button