KPM timbang cadangan tempatkan anggota keselamatan di sekolah
JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan (KPM) sedia mempertimbang cadangan bagi menempatkan anggota keselamatan di sekolah sebagai langkah meningkatkan aspek keselamatan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sehubungan itu Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat sedang dimuktamadkan bagi menambah baik garis panduan sedia ada.
“Pihak KPM sedang memuktamadkan garis panduan keselamatan baharu menerusi pembabitan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang dianggotai pakar daripada pelbagai latar belakang.
“Mengenai cadangan untuk meletakkan anggota keselamatan di sekolah, KPM akan teliti cadangan ini,” katanya selepas hadir pada Majlis Pelancaran MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) 2026 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin, di sini hari ini.
Terdahulu, majlis tersebut dirasmikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Fadhlina berkata demikian ketika ditanya mengenai keperluan menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di setiap sekolah sebagai langkah keselamatan.
Beliau seterusnya berkata, kementerian juga akan memastikan garis panduan yang akan dimuktamadkan selari dengan cabaran semasa dan kekal relevan dalam melindungi murid serta warga sekolah.
Katanya, usaha itu sudah digerakkan menerusi keanggotan jawatankuasa khas berkenaan yang diwakili pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















