Fadhlina zahir keprihatinan, doakan dua wartawan terlibat kemalangan cepat sembuh
KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menzahirkan keprihatinan terhadap dua wartawan yang cedera dalam kemalangan ketika dalam perjalanan membuat liputan program di Bagan Datuk, Perak, awal pagi tadi.
Beliau turut mendoakan agar urusan rawatan Afiradina Arshad daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Zahratulhayat Md Arif daripada New Straits Times (NST) dipermudahkan serta kedua-duanya segera pulih.
Menerusi hantaran di Facebook, Fadhlina berkata, kedua-dua wartawan itu sudah dikenalinya sejak beliau kerap mengunjungi kampung angkatnya di Kuak Hulu, Perak.
“Ada wajah-wajah yang sudah cukup akrab setiap kali saya turun ke kampung angkat saya di Kuak Hulu, Perak. Antaranya dua sahabat media, Afiradina daripada BERNAMA dan Zahratulhayat daripada NST.
“Pagi tadi saya menerima perkhabaran yang mendukacitakan apabila kedua-duanya terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan membuat liputan program di Bagan Datuk,” katanya.
Sebagai tanda keprihatinan, Fadhlina berkata, beliau telah meminta pegawainya menyampaikan sedikit sumbangan bagi membantu menguruskan keperluan kedua-dua wartawan berkenaan.
“Saya mendoakan agar segala urusan rawatan Afiradina dan Zahratulhayat dipermudahkan serta dikurniakan kesembuhan yang baik. Semoga kedua-duanya segera pulih,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








