Penumpang kapal persiaran dijangkiti hantavirus dibawa kuarantin di hospital UK
LONDON – Penumpang dan kru warga Britain dari kapal persiaran MV Hondius yang dikaitkan dengan penularan hantavirus akan ditempatkan di sebuah fasiliti hospital di United Kingdom (UK) bagi menjalani kuarantin dan pemeriksaan kesihatan.
Menurut laporan BBC News, kapal persiaran milik syarikat Oceanwide Expeditions itu dijadual berlabuh di Kepulauan Canary hari ini sebelum baki 22 warga Britain dibawa pulang menaiki penerbangan khas dengan pemantauan petugas perubatan.
Pihak berkuasa kesihatan UK berkata, semua penumpang akan menjalani ujian hantavirus sebelum dibenarkan pulang dan ditempatkan sementara di blok penginapan khas di kawasan Hospital Arrowe Park, Merseyside.

Dalam kenyataan bersama beberapa agensi kesihatan dan keselamatan UK, pihak berkuasa memaklumkan, semua penumpang akan dipantau rapi sebaik tiba di negara itu.
“Sejurus tiba, mereka akan dibawa ke lokasi khas yang dikendalikan untuk pemeriksaan klinikal dan ujian kesihatan.
“Kami menjangkakan tempoh penginapan awal ini mengambil masa sehingga 72 jam,” menurut kenyataan itu.
Setakat ini, lima kes hantavirus disahkan membabitkan kapal itu termasuk seorang daripada tiga penumpang yang meninggal dunia sepanjang pelayaran berkenaan.
Dua lelaki Britain kini menerima rawatan di Belanda dan Afrika Selatan, manakala seorang lagi dirawat kerana disyaki dijangkiti virus itu di Pulau Tristan da Cunha di Lautan Atlantik.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan insiden itu sebagai serius, namun menegaskan risiko penularan kepada orang awam masih rendah dan tidak setanding wabak Covid-19.
“Hantavirus bukan seperti koronavirus dan risiko kepada orang ramai ketika ini kekal rendah,” menurut WHO.
Hantavirus lazimnya merebak melalui tikus dan haiwan pengerat, namun pakar percaya jangkitan dalam kes ini mungkin berlaku melalui hubungan rapat sesama manusia.
Antara gejala jangkitan termasuk demam, keletihan melampau, sakit perut, muntah dan sesak nafas yang boleh muncul antara satu hingga lapan minggu selepas terdedah kepada virus.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







