143 kenderaan mewah disita, pemilik gagal bayar cukai jalan, insurans
SEREMBAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menyita 143 kenderaan mewah sepanjang tahun lalu menerusi Ops Khas Pengarah kerana pelbagai kesalahan termasuk cukai jalan dan insurans tamat tempoh.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sihdu berkata, antara kenderaan yang disita pada 2025 ialah Porsche (7), Audi (11), Toyota Alphard dan Vellfire (21), Mercedes-Benz (30), BMW (35) serta lain-lain kenderaan (39).
Katanya, bagi tempoh Januari hingga April tahun ini pula, sebanyak 45 kenderaan mewah disita membabitkan Porsche (3), Audi (4), Toyota Alphard dan Vellfire (3), Mercedes-Benz (15), BMW (12) serta lain-lain kenderaan (8).
“Antara pencapaian Ops Khas Pengarah ialah tindakan terhadap pemilik kenderaan mewah yang melanggar undang-undang jalan raya.
“Kesalahan paling banyak dikesan ialah cukai jalan dan insurans tamat tempoh,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, kebanyakan pemilik kenderaan yang ditahan terdiri daripada golongan usahawan, ahli perniagaan dan profesional.
Katanya, dalam satu kes, sebuah kereta mewah milik lelaki bergelar ‘Datuk’ berusia lewat 40-an turut disita atas kesalahan sama.
“Kereta Porsche juga pernah kami sita kerana cukai jalan dan insurans tamat tempoh.
“Boleh beli kereta mewah, tetapi tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













