BERITA SEMASA

VIP, ahli politik, artis culas bayar cukai jalan kereta mewah

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan golongan kenamaan termasuk VIP, ahli politik, ahli perniagaan dan artis antara pemilik kereta mewah yang culas memperbaharui cukai jalan, membabitkan jumlah tunggakan lebih RM35.7 juta.

Menurutnya, semakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati lima jenama kereta mewah paling popular mencatatkan tunggakan cukai jalan yang tinggi, antaranya Rolls Royce, Lamborghini, Bentley, Ferrari dan Porsche.

“Rolls Royce ada 345 unit dengan tunggakan RM6.4 juta, Lamborghini 372 unit (RM3.7 juta), Bentley 660 unit (RM7 juta), Ferrari 675 unit (RM4.7 juta) dan Porsche 4,308 unit (RM13.7 juta).

“Secara keseluruhan, hanya lima jenama ini sahaja sudah mencecah RM35.7 juta.

“Dalam senarai pemiliknya memang ada orang kenamaan, termasuk yang bergelar Tan Sri, ahli politik, ahli perniagaan dan artis,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Anthony berkata, walaupun kerajaan menyediakan subsidi RON95 menerusi BUDI MADANI untuk semua rakyat termasuk pemilik kereta mewah, ia bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab membayar cukai jalan.

“Kalau kenderaan itu masih digunakan di jalan raya, cukai jalan wajib diperbaharui bersama insurans.

“Kalau tak, JPJ akan sita kenderaan tersebut menerusi Ops Luxury yang sedang dilaksanakan,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, kerajaan tidak berniat memalukan mana-mana pihak walaupun semua maklumat pemilik sudah ada dalam rekod.

“Saya tidak akan dedahkan nama mereka, tetapi saya harap golongan ini tampil jalankan tanggungjawab,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button