Insentif pembajakan kepada pesawah diagihkan mulai 19 Mei
PUTRAJAYA – Bayaran pendahuluan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) sebanyak RM200 sehektar akan mula disalur secara berperingkat bermula 19 Mei ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, langkah berkenaan diharap dapat mengurangkan beban modal permulaan yang sebelum ini perlu ditanggung sendiri pesawah.
Pelaksanaan bantuan berkenaan melibatkan pesawah yang berdaftar di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) bagi musim semasa (keutamaan bagi musim 1/2026) di Semenanjung Malaysia sahaja.
“Pesawah akan menerima bayaran pendahuluan RM200 sehektar secara ‘one-off’ sebelum atau semasa kerja membajak dimulakan, manakala baki RM100 sehektar selepas kerja pembajakan selesai dan disahkan oleh agensi berkaitan,” kata kenyataan itu, hari ini.
Bagi Sabah dan Sarawak, KPKM berkata, kadar insentif kekal mengikut kadar sedia ada memandangkan pesawah di kedua-dua negeri tersebut masih menikmati subsidi diesel.
“Bagi memastikan proses pembayaran lebih cepat dan mudah, penyaluran bantuan akan dibuat terus ke akaun bank pesawah yang berdaftar, selain kemudahan pembayaran tunai melalui pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi kes-kes tertentu,” katanya.
KPKM yakin langkah tersebut akan dapat membantu meningkatkan aliran tunai pesawah, mempercepat persiapan musim penanaman serta memberi keyakinan kepada komuniti pesawah bahawa Kerajaan MADANI sentiasa mendengar keluhan dan memahami cabaran sebenar yang dihadapi mereka di peringkat lapangan.
“Kerajaan MADANI akan terus komited memastikan agenda keterjaminan makanan negara diperkukuh melalui sokongan berterusan kepada sektor penanaman padi dan kebajikan pesawah negara,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




