AGAMABERITA SEMASA

Quranic MADANI ‘Night Reset’ himpun warga kota di Bukit Bintang malam esok

KUALA LUMPUR – Personaliti dakwah terkenal, Ustaz Haris Ismail atau PU Riz menyeru orang ramai hadir memeriahkan program Quranic MADANI ‘Night Reset’ di Bukit Bintang malam esok sebagai usaha menyemarakkan syiar al-Quran di tengah kesibukan ibu kota.

Menerusi perkongsian di media sosial, beliau berkata, program itu bertujuan membawa kekuatan dan rahmat al-Quran kepada masyarakat selain mengajak umat Islam mendekati kitab suci tersebut dalam kehidupan seharian.

“Esok kita akan insya-Allah, rahmatkan kekuatan al-Quran di sekitar Kuala Lumpur. Jumpa di sana.

“Baca Quran, kesulitan dijauhkan. Quranic MADANI bergerak ke seluruh Malaysia. Takbir!” tulisnya.

Beliau turut mengingatkan sabda Rasulullah SAW bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.

quranic madani
Tangkap layar video PU Riz yang mengajak khalayak menyertai program Quranic MADANI. – Foto Instagram

Program anjuran Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu akan berlangsung esok bermula pukul 8 malam hingga 11 malam di Bukit Bintang.

Menurut JAKIM, program berkonsepkan “Bersatu Dalam Saf” itu diadakan bagi mengimarahkan malam warga kota dengan pengisian kerohanian yang menenangkan jiwa.

Antara pengisian yang disusun ialah solat Isyak dan solat hajat berjemaah, bacaan Surah Al-Mulk serta sesi tazkirah bersama pendakwah terkenal seperti Ustaz Farkhan Da’ie, Maulana Khairi dan PU Riz sendiri.

Program berkenaan dijangka turut dihadiri beberapa tokoh kenamaan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Nurul Izzah Anwar serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Orang ramai dijemput hadir dengan membawa sejadah serta semangat ukhuwah untuk bersama-sama mencari rahmat dan keberkatan Allah SWT.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button