JENAYAH & MAHKAMAH

Maritim tahan 15 PATI, rampas pistol dan peluru di perairan Port Dickson

PORT DICKSON – Seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, termasuk seorang tekong, ditahan dalam satu operasi di perairan Port Dickson, awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, tangkapan itu hasil maklumat risikan berhubung kegiatan penyeludupan migran melalui laluan tidak diwartakan.

Menurutnya, bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menjalankan rondaan rutin berjaya memintas sebuah bot pancung mencurigakan tanpa nombor pendaftaran kira-kira jam 3.40 pagi.

“Bot berkenaan dikesan berada kira-kira 0.5 batu nautika barat daya Pantai Cahaya Negeri sebelum dipintas untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lapan lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 hingga 46 tahun berada di atas bot itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua individu terbabit ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah untuk memasuki negara ini.

Menurutnya, pemeriksaan rapi ke atas bot tersebut turut menemukan sepucuk pistol jenama Colt yang telah dileraikan bersama lima butir peluru hidup.

“Semua tahanan bersama rampasan dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Senjata Api 1971.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat atau aduan kecemasan di laut melalui talian 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan bagi tindakan segera.

“Kerjasama orang ramai amat penting dalam memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button