Lelaki disyaki bunuh wanita warga emas direman 5 hari
IPOH – Suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam kes bunuh seorang wanita warga emas di Taman Desa Aman di sini, direman selama lima hari bermula hari ini hingga 9 Mei bagi membantu siasatan.
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah, perintah reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh.
BACA JUGA:
Wanita warga emas maut dipercayai ditetak di Ipoh
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 4.45 petang semalam hingga 10 malam tadi iaitu kali terakhir mangsa keluar rumah sebelum ditemui maut.
“Pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian menerusi panggilan telefon oleh anak mangsa kira-kira pukul 10 malam.
“Bagaimanapun, masa sebenar kejadian masih dalam siasatan lanjut,” katanya, hari ini.
Jelas beliau, suspek yang merupakan jiran mangsa telah ditahan di sekitar lokasi kejadian pada malam sama.
“Siasatan turut mendapati, orang kena tahan (OKT) pernah dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Februari lalu untuk rawatan psikiatri,” katanya.
Terdahulu, seorang wanita berusia 70 tahun ditemukan maut dalam keadaan terbaring di rumahnya, dengan kesan kecederaan dipercayai akibat ditetak pada bahagian badan, kepala dan leher.
Polis turut menemukan sebilah parang di lokasi dipercayai digunakan dalam kejadian pembunuhan itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















