BERITA SEMASA

Che GuBard terus sebar fitnah, Setpol Anthony Loke mohon polis siasat

KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik kepada Menteri Pengangkutan, Ho Weng Wah mendakwa tindakan Che GuBard yang terus menyebarkan fitnah di media sosial disifatkan sebagai bermotifkan kepentingan politik sempit.

Beliau berkata, hantaran Facebook individu berkenaan yang menuduh Anthony Loke Siew Fook menyalurkan dana kepada entiti didakwa haram adalah tidak berasas dan mengelirukan.

Menurutnya, tuduhan itu turut cuba mengaitkan Menteri Pengangkutan dengan isu kekacauan institusi diraja Negeri Sembilan.

“Dakwaan tersebut adalah tidak benar dan merupakan satu cubaan mencemarkan reputasi Menteri serta mengelirukan masyarakat umum,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Weng Wah berkata, satu laporan polis telah dibuat pada 15 November 2024 di Balai Polis Jalan Campbell berhubung perkara tersebut.

“Laporan itu langsung tidak berkaitan dengan sebarang krisis institusi diraja Negeri Sembilan, sebaliknya melibatkan penyalahgunaan kepala surat rasmi Balai Undang Datuk Undang Sungai Ujong bagi tujuan permohonan peruntukan RM10,000.

“Cubaan mengaitkan perkara ini dengan krisis institusi adat Negeri Sembilan adalah satu fitnah yang disengajakan dan berniat jahat,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan kenyataan yang dibuat Che GuBard menyentuh isu sensitif 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja yang berpotensi mencetuskan ketegangan kaum serta memecahbelahkan masyarakat.

Weng Wah turut berkata, Setiausaha Agung DAP itu sebelum itu telah menyatakan pendirian jelas untuk tidak campur tangan dalam urusan institusi adat Negeri Sembilan.

“Pendirian itu selaras dengan prinsip kerajaan yang menjunjung sistem Raja Berperlembagaan serta menghormati institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengecam tindakan pihak terbabit yang didakwa mengamalkan pendekatan ‘fitnah dahulu, fakta kemudian’ sehingga mencetuskan spekulasi tidak bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat.

Dalam masa sama, beliau memohon pihak polis menjalankan siasatan terhadap hantaran berkenaan kerana dipercayai melanggar undang-undang termasuk Seksyen 505 dan 499 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan penyebaran maklumat palsu dan fitnah dapat dibendung demi keharmonian dan kestabilan negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button