Wanita bawa pisau ditahan di festival air Bukit Bintang
KUALA LUMPUR – Tindakan seorang wanita tempatan membawa sebilah pisau ke kawasan tumpuan ramai mengundang padah apabila dia diberkas polis dalam operasi kawalan keselamatan di Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang, malam tadi.

Festival muzik yang melabuhkan tirainya malam tadi menyaksikan kira-kira 30,000 pengunjung membanjiri kawasan Bukit Bintang dalam suasana penuh meriah namun terkawal.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan penganjuran festival yang bermula sejak 30 April itu secara keseluruhannya berjalan lancar tanpa sebarang insiden besar yang tidak diingini.
Walau bagaimanapun, pihak polis melaporkan satu tangkapan dibuat melibatkan seorang wanita tempatan berusia 28 tahun.
Suspek ditahan selepas pemeriksaan mendapati dia memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau di lokasi festival.
“Wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kita akan mendapatkan perintah reman terhadapnya.
“Motif dia membawa senjata berkenaan masih lagi dalam siasatan,” jelasnya kepada pemberita di ibu negara malam tadi.
Selain tangkapan tersebut, beberapa individu lain yang berkelakuan mencurigakan turut ditahan sebagai langkah pencegahan awal bagi menjamin keselamatan ribuan pengunjung yang hadir.
Mengulas mengenai kawalan keselamatan, Fadil memberitahu seramai 500 pegawai dan anggota telah digerakkan setiap malam sepanjang festival tiga hari itu berlangsung.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama yang diberikan kepada pihak berkuasa sepanjang acara anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia bersama Tourism Malaysia tersebut.
Fadil sendiri dilihat hadir memantau situasi di lapangan setiap hari bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap tertinggi sehingga acara selesai sepenuhnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








