Zahid Hamidi impikan Melayu punyai jati diri Islam, terus bersatu menjelang ulang tahun UMNO ke-100
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengimpikan bangsa Melayu terus mempunyai jati diri Islam yang tinggi menjelang ulang tahun parti itu ke-100.
Ahmad Zahid berkata, pada masa sama beliau turut mengimpikan bangsa Melayu menjadi peneraju dan pemangkin kemajuan nusa serta bangsa.
“Menjelang ulang tahun UMNO ke-100 nanti, saya mengimpikan Melayu yang tidak luntur jiwa keIslamannya. Benar-benar memahami rukun agama, tidak terpisah dari jasad dan rohnya.
“Saya mengimpikan anak-anak Melayu yang kental jati dirinya, yang menjaga maruah yang tinggi adab dan mulia akhlaknya.
“Saya mengimpikan Melayu yang menjadi inventor, mencipta idea, mencipta nilai dan memangkin kemajuan nusa dan bangsa,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu katanya, beliau turut berharap bangsa Melayu terus bersatu padu dan tidak berpecah belah.
“Saya mengimpikan Melayu yang bersepakat, menenun jaringan dan berpaut pada satu kekuatan.
“Saya mengimpikan Melayu yang menjadi ikutan, menjadi tunjang kepada negara majmuk yang rencam, berbilang latar dan lapisan.
“Ini lah generasi Melayu yang kita semua dambakan berakar pada iman, berakal dalam tindakan, berdaya dalam ciptaan, berjiwa besar dalam perjuangan dan bersatu dalam kepimpinan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








