BERITA SEMASA

Kaukus Palestin kecam Israel pintas GSF 2.0, gesa rakyat Malaysia dibebaskan

KUALA LUMPUR – Kaukus Palestin Parlimen Malaysia mengecam tindakan rejim Zionis Israel yang didakwa memintas, menahan dan menculik anak kapal Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 di perairan antarabangsa awal pagi tadi.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, tindakan itu disifatkan sebagai biadab serta mencabul undang-undang antarabangsa kerana insiden berlaku ketika konvoi kemanusiaan itu berada di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece.

Menurutnya, berdasarkan kenyataan Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), sebanyak 57 kapal GSF termasuk tiga kapal pengiring berada kira-kira 656 batu nautika dari pantai Gaza ketika kejadian berlaku.

“Setakat pukul 1 tengah hari waktu Malaysia, laman sesawang penjejak GSF menunjukkan 22 buah kapal telah dirampas, dengan terdapat 10 rakyat Malaysia berada di atas enam buah kapal.

“Nasib kapal-kapal lain masih belum diketahui,” katanya dalam kenyataan rasmi, hari ini.

Beliau berkata, tindakan rejim Zionis itu bukan sahaja melanggar hak asasi manusia, malah merupakan satu bentuk pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa dan kebebasan pelayaran di perairan antarabangsa.

Sehubungan itu, Kaukus Palestin Parlimen Malaysia mendesak Israel menghentikan segera tindakan pencabulan tersebut dan membebaskan semua anak kapal yang ditahan.

Selain itu, pihaknya turut menyeru rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa supaya bersama-sama mengutuk tindakan berkenaan.

“Kami juga mengusulkan supaya Ahli Parlimen Malaysia dan seluruh dunia bersatu suara mengutuk tindakan melampau ini yang jelas mencabuli undang-undang antarabangsa,” katanya.

Syed Ibrahim turut menggesa kerajaan Malaysia mengambil langkah sewajarnya dengan segera bagi memastikan keselamatan semua anak kapal warga Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button