Primadona filem klasik Maria Menado meninggal dunia pada usia 94 tahun
PETALING JAYA – Primadona filem Melayu klasik, Maria Menado dilaporkan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta, di sini pada pukul 12.25 tengah hari tadi pada usia 94 tahun.
Allahyarham yang terkenal dengan gelaran ‘Wanita Terjelita Malaya’ menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga akibat sakit tua.
Menantunya, Sairul Amar Ayob berkata, ibu mentuanya dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan sejak 14 April lalu.
“Allahyarham Datuk Seri Maria Menado menghembuskan nafas terakhir dengan tenang,” katanya kepada media.
Menurutnya, jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediaman keluarga di Bukit Jelutong, Selangor bagi memberi peluang kepada ahli keluarga, sahabat dan kenalan memberikan penghormatan terakhir.
Jenazah kemudian akan dibawa ke Masjid Bukit Damansara untuk urusan pengurusan jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Dilahirkan dengan nama asal Liesbet Dotulong pada 2 Februari 1932, Allahyarham dianggap antara bintang filem Melayu paling terkenal sekitar 1951 hingga 1963.
Beliau berhijrah ke Singapura dan memeluk Islam ketika berusia 19 tahun sebelum berkahwin dengan promoter tinju dan penulis skrip, A Razak Sheikh Ahmad.
Maria mula mencipta nama dalam industri perfileman selepas menyertai Malay Film Productions dan Cathay-Keris Film Productions sebelum muncul sebagai antara pelakon wanita utama pada era kegemilangan filem Melayu klasik.
Popularitinya memuncak menerusi lakonan watak utama dalam filem Pontianak terbitan 1957 yang dianggap antara filem seram Melayu terawal dan menjadikannya ikon awal genre berkenaan.
Pada tahun sama, beliau turut digelar ‘Wanita Terjelita Malaya’ oleh Times Magazine serta ‘Wanita Berpakaian Paling Menarik di Asia Tenggara’ oleh United Press International.
Pada 1980, Allahyarham menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk, sebelum dianugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) pada 2017.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







