Suri rumah didakwa sebar maklumat palsu di aplikasi Thread
SEPANG – Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya berkaitan diesel di mahkamah sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh, Siti Nor Saykilla Mohd Azhar membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(2) Akta yang sama.
Tertuduh yang menggunakan akaun Instagram “@cek_apple95” didakwa secara sedar memuat naik kenyataan berunsur palsu sifatnya di aplikasi ‘Thread’ dengan niat untuk menganggu mana-mana orang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 31 Mac 2026 pukul 12 tengah hari dan kandungan berkenaan dilihat pada hari yang sama 2026 kira-kira pukul 4.00 petang di Menara MCMC 1, Jalan Impact Cyber 6, Cyberjaya, dalam daerah Sepang, Selangor.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Mohd Azmir Mohd Razali.
Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000.
Bagaimanapun, peguam bela memohon jumlah jaminan yang paling minimum, dengan mencadangkan angka RM500 atas faktor kemanusiaan dan kesempitan hidup tertuduh.
Tertuduh adalah seorang ibu yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap dan memikul tanggungjawab berat menyara seorang anak sulung yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) terlantar akibat masalah penglihatan serta tidak mampu berkomunikasi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 4 Jun 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













