
Tune Talk lancar platform e-dagang dalam aplikasi
KUALA LUMPUR – Tune Talk melancarkan platform e-dagang dalam aplikasi dikenali sebagai Tune Talk Shop, sekali gus memperluas peranannya daripada penyedia telekomunikasi kepada ekosistem digital bersepadu.
Platform yang dibangunkan dengan kerjasama Presto itu membolehkan pengguna membeli-belah, membuat pembayaran dan menerima pesanan tanpa perlu keluar daripada aplikasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Gurtaj Singh Padda berkata, pelancaran itu mencerminkan peralihan syarikat daripada persaingan berasaskan harga kepada penciptaan nilai yang lebih menyeluruh.
“Peralihan ini menunjukkan komitmen kami untuk menyediakan nilai yang sentiasa relevan kepada rakyat Malaysia.
“Tune Talk Shop bukan sekadar ciri e-dagang, tetapi platform terpadu yang menggabungkan capaian, ganjaran dan transaksi dalam satu pengalaman lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, platform tersebut menawarkan akses kepada lebih 20,000 produk terpilih, selain membolehkan pengguna membuat semakan, pembayaran dan pengesahan pesanan terus dalam aplikasi.
Pengguna juga boleh menggunakan mata ganjaran Tune Talk Points sebagai sebahagian daripada transaksi, selain menikmati penghantaran ke pintu di seluruh negara.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Presto, Prawn Cheng berkata, pihaknya menyediakan infrastruktur backend termasuk katalog produk dan pemenuhan pesanan bagi menyokong operasi platform berkenaan.
“Kerjasama ini membolehkan Tune Talk mengembangkan e-dagang dalam ekosistemnya sambil mengekalkan kawalan penuh terhadap pengalaman pelanggan,” katanya lagi.
Pelancaran Tune Talk Shop dibuat ketika sektor e-dagang Malaysia terus berkembang, dengan dianggarkan 18.8 juta pengguna membeli-belah dalam talian dan kadar pertumbuhan sekitar 10 peratus setahun.
Sejak memperkenalkan ciri digital seperti permainan dan drama pada Mei 2025, Tune Talk merekodkan purata penggunaan aplikasi harian sebanyak 36 minit, kira-kira 400 peratus lebih tinggi berbanding penanda aras aplikasi telco global.
Dengan lebih 1.8 juta pelanggan di seluruh negara, syarikat itu dilihat terus memperkukuh kedudukannya sebagai platform digital pelbagai perkhidmatan, selari dengan perkembangan ekonomi digital negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








