BERITA SEMASA

Big Blue lancar aplikasi baharu tawar perkhidmatan tempahan teksi lebih telus, cekap

SERDANG – Syarikat teksi Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd (Big Blue) baru-baru ini melancarkan aplikasi baharu dalam usaha memoden dan meningkatkan perkhidmatan mereka kepada kira-kira dua juta pelanggannya.

Pengasasnya, Shamsubahrin Ismail berkata, aplikasi yang tersedia di platform iOS dan Android itu menawarkan pelbagai fungsi lebih menarik yang membolehkan pengguna menempah kenderaan lebih mudah dan pantas.

Antara fungsi asas aplikasi itu termasuk penetapan lokasi pengambilan dan destinasi, penetapan kadar tambang, penjejakan pemandu secara masa nyata, pembayaran secara digital serta sistem penilaian dan maklum balas terhadap pemandu.

Aplikasi baharu Big Blue dilancar dengan matlamat memodenkan perkhidmatan teksi dan menyokong penggunaan EV.

Lebih menarik dan penting katanya, Big Blue menawarkan kadar tambang secara lebih telus tanpa caj-caj tambahan dan terselindung seperti yang dikenakan sesetengah syarikat e-hailing di negara ini.

“Kami mengambil masa selama tiga tahun untuk menaiktaraf aplikasi ini selepas tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) semasa Covid-19.

“Kini ia sedia untuk dimuat turun dan kiosknya akan ditempatkandi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lapangan di seluruh negara dan juga bangunan-bangunan kerajaan,” katanya pada pelancaran aplikasi itu sempena Malaysia Autoshow di MAEPS, di sini.

Shamsubahrin berkata, berbeza dengan perkhidmatan e-hailing lain, Big Blue tidak mengenakan caj tambahan bagi perkhidmatan waktu puncak.

“Yang ada cuma caj larut malam yang bermula dari pukul 12 tengah malam sehingga 6 pagi dengan kadar 50 peratus.

“Manakala bagi pembatalan tempahan, kami tidak akan memulangkan sebarang bayaran kepada pelanggan kerana slot telah ditempah,” katanya.

Pengasas Big Blue, Shamsubahrin Ismail (tengah) melancarkan aplikasi baharu syarikat itu sempena Malaysia Autoshow di MAEPS, Serdang baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya telah membuat permohonan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk membatalkan permohonan teksi-teksi persendirian ke arah pelaksanaan teksi kenderaan elektrik (EV).

“Kami sasarkan 40,000 hingga 60,000 kenderaan e-hailing sedia ada akan berhijrah kepada EV sebagaimana sokongan yang telah ditunjukkan kerajaan,” katanya.

Sebelum itu, Big Blue mensasarkan sebanyak 30,000 migrasi kenderaan teksi kepada kenderaan teksi EV pada fasa pertama porgram tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button