BERITA SEMASA

KPKM beri amaran jangan jual beras seludup, tanpa lesen di platform e-dagang

PUTRAJAYA – Sebanyak 94 iklan berkaitan penjualan beras secara dalam talian telah diturunkan oleh penyedia platform e-dagang bagi tempoh 1 Oktober 2023 hingga 31 Mei lalu.

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), hasil semakan melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) mendapati, penjual beras secara dalam talian tersebut tidak mempunyai lesen runcit yang dikeluarkan oleh KPB dan beras yang dijual dipercayai diperoleh dari sumber tidak sah.

Jelas KPKM, padi dan beras adalah barang kawalan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Justeru itu, kata KPKM, sebarang urusniaga melibatkan barang kawalan di peringkat kilang, borong dan runcit termasuk jualan secara dalam talian memerlukan lesen yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras.

“Beras yang dijual kepada pengguna dalam talian disyaki adalah beras yang dibawa masuk ke dalam negara tanpa mendapat kelulusan kerajaan.

“Ketiadaan lesen barang kawalan beras adalah kesalahan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, KPKM berkata, penjual barang kawalan beras yang menggunakan platform e-dagang adalah terikat dengan perundangan yang berkuatkuasa iaitu Akta 522 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Oleh sebab itu, tambah KPKM, perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 10(1)(a) Peraturan- Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996.

“Sekiranya didapati bersalah, pihak terlibat boleh didenda sehingga RM25,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya,” katanya lagi.

Sementara itu, pihak KPB sentiasa memantau aktiviti penjualan beras menggunakan platform dalam talian dengan kerjasama penyedia platform e-dagang berkenaan bagi membendung aktiviti berkenaan terus berleluasa.

“KPB juga ingin mengingatkan kepada peniaga bahawa penjualan secara dalam talian barangan kawalan padi dan beras perlu mematuhi mana-mana perundangan yang sedang berkuatkuasa,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button