Rekod Dunia Guinness: Oriental Kopi sasar 10,000 hidangan nasi lemak sempena Hari Pekerja
PUTRAJAYA – Dalam usaha mengangkat warisan kulinari tempatan ke pentas antarabangsa, Oriental Kopi tampil dengan inisiatif berani apabila menyasarkan penciptaan Rekod Dunia Guinness menerusi jualan 10,000 hidangan nasi lemak dalam tempoh lapan jam sempena sambutan Hari Pekerja, 1 Mei ini.
Bertempat di IOI City Mall (West Wing), acara ini bukan sekadar percubaan memecah rekod, sebaliknya sebuah perayaan budaya yang mencerminkan identiti Malaysia.
Nasi lemak yang sering dianggap simbol perpaduan, menjadi medium menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang melalui keaslian cita rasanya.
Menggabungkan elemen tradisi dan inovasi, Oriental Kopi menawarkan setiap hidangan pada harga RM9.90 sepanjang tempoh cabaran berlangsung.
Lebih menarik, setiap pembelian disertakan dengan ganjaran seperti syiling peringatan edisi terhad dan baucar, manakala pembelian dalam jumlah tertentu melayakkan pengunjung menerima cenderamata eksklusif yang direka khas sempena acara ini.
Selain itu, setiap pembelian juga melayakkan pengunjung menerima satu baucar Oriental Kopi bernilai RM2.
Bagi pengunjung yang membuat pembelian lima hidangan dalam satu transaksi akan menerima cenderamata gelas peringatan eksklusif yang direka khas sempena acara ini sebagai simbol penghargaan atas sokongan mereka dalam menjayakan usaha ini.
Tidak sekadar itu, acara dijangka lebih meriah dengan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk telefon pintar iPhone 17 Pro sebagai hadiah utama, sekali gus menjadikan pengalaman ini bukan sahaja mengenyangkan malah mengujakan.
Pengasasnya, Calvin Chan berkata, di sebalik kemeriahan tersebut, cabaran sebenar terletak pada kecekapan operasi dengan sasaran purata satu hidangan setiap dua saat, usaha ini menuntut koordinasi yang rapi serta konsistensi kualiti pada tahap tertinggi.
“Ia adalah manifestasi kebanggaan nasional. Nasi lemak bukan sekadar hidangan, tetapi lambang ‘Rasa Malaysia’ yang menyatukan kita semua,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Calvin, percubaan itu juga merupakan kategori baharu dalam Guinness World Records sekaligus menjadikan Oriental Kopi sebagai pelopor kepada usaha tersebut.
“Segala proses akan dilaksanakan mengikut garis panduan ketat dengan dokumentasi rapi serta pengesahan bebas bagi memastikan ketelusan.
“Seiring dengan aspirasi membawa Malaysia ke peta gastronomi dunia, orang ramai dijemput menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini kerana dalam setiap suapan nasi lemak, tersimpan cerita tentang budaya, perpaduan dan cita rasa sebuah negara,” katanya.
Menurut Calvin, percubaan itu bukan sekadar usaha untuk mencipta rekod dunia malah mencerminkan misi untuk membawa kebanggaan dan warisan Malaysia ke persada antarabangsa melalui cita rasa yang dekat di hati semua.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








