AMK Pulau Pinang gesa hentikan politik fitnah selepas keputusan mahkamah
GEORGETOWN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menyifatkan keputusan mahkamah menolak rayuan melibatkan Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura sebagai bukti jelas bahawa politik berasaskan fitnah tidak boleh dipertahankan.
Ketua AMK Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, keputusan itu sekali gus mengekalkan penghakiman dalam kes saman berkaitan kenyataan fitnah yang dibuat terhadap Lim Guan Eng dan beberapa individu lain sebelum ini.
Menurutnya, keputusan berkenaan menegaskan bahawa sebarang tuduhan tanpa asas fakta tidak boleh dipandang ringan kerana ia membawa implikasi undang-undang yang serius.
“Ia juga memperlihatkan bahawa prinsip kebertanggungjawaban tetap terpakai kepada semua pihak tanpa mengira kedudukan, termasuk Ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perkembangan itu mencerminkan corak membimbangkan dalam landskap politik semasa apabila tuduhan tidak berasas dijadikan alat untuk meraih sokongan tanpa mengambil kira kesan terhadap reputasi individu serta keharmonian masyarakat.
“Lebih membimbangkan, tindakan sedemikian dilihat berulang dan sekali gus menimbulkan persoalan terhadap tahap integriti serta kebertanggungjawaban kepimpinan yang terlibat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut merujuk insiden melibatkan Ahli Parlimen PAS dari Jasin yang tampil memohon maaf kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung kenyataan tidak tepat yang dikeluarkan sebelum ini.
“Insiden ini menggambarkan satu realiti yang membimbangkan, di mana fitnah dilemparkan terlebih dahulu, manakala pembetulan hanya berlaku selepas proses perundangan atau tekanan awam,” katanya lagi.
Zakwan berkata, tindakan menyebarkan fitnah dan tuduhan tidak berasas jelas bertentangan dengan prinsip asas Islam yang menuntut kebenaran, amanah serta larangan keras terhadap fitnah.
Menurutnya, sebagai sebuah parti yang membawa imej Islam, tindakan segelintir pemimpin PAS dilihat tidak selari dengan nilai-nilai tersebut, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti moral yang sepatutnya dijunjung.
Beliau turut berpandangan bahawa PAS semakin dilihat sebagai parti yang kerap terpalit dengan isu kenyataan berunsur fitnah sehingga membawa kepada tindakan undang-undang, hasil daripada beberapa insiden berprofil tinggi yang berulang.
“Rakyat hari ini semakin matang dalam menilai tindak-tanduk pemimpin politik. Tingkah laku yang berulang kali terpalit dengan penyebaran maklumat tidak sahih wajar dijadikan asas pertimbangan dalam menilai kredibiliti dan kelayakan seseorang pemimpin,” katanya lagi.
Tambah beliau, Malaysia memerlukan landskap politik yang lebih bertanggungjawab, berteraskan fakta serta menghormati prinsip kebenaran.
“Politik fitnah bukan sahaja merendahkan mutu demokrasi, malah menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi dan kepimpinan negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








