USNO keluar GRS, Pandikar Amin lepas jawatan Timbalan Pengerusi
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) secara rasmi mengumumkan keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekali gus menyaksikan presidennya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi gabungan itu serta semua jawatan berkaitan kerajaan negeri.
Beliau berkata, keputusan tersebut dimaklumkan selepas pertemuan bersama Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor semalam.
“Keputusan berkenaan turut dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi parti.
“Antara justifikasi awal keputusan ini ialah disebabkan sudah tidak wujud keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
USNO memaklumkan parti itu akan kekal sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan kepentingan pribumi Sabah serta komited memainkan peranan semak dan imbang.
“USNO juga merakamkan penghargaan kepada Pengerusi GRS serta semua rakan komponen atas kerjasama sebelum ini dan akan terus memperjuangkan aspirasi rakyat yang terpinggir,” katanya lagi.
Untuk rekod, USNO menyertai GRS pada Mei 2022 di bawah pimpinan Pandikar yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Pada PRN Sabah November lalu, Pandikar tewas kepada calon bebas, Datuk Fairuz Renddan dengan majoriti 1,070 undi, selepas turut kalah di kerusi sama pada 2020 dengan majoriti tipis 84 undi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






