BERITA SEMASA

304 rakyat Malaysia antara 1,426 hilang kerja susulan penutupan kilang sarung tangan di Sepang

PUTRAJAYA – Seramai 304 rakyat Malaysia antara keseluruhan 1,426 pekerja yang terjejas selepas WRP Asia Pacific Sdn Bhd menutup operasi sepenuhnya di Sepang, Selangor berkuat kuasa 15 April lalu.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sedang memantau rapi proses penutupan tersebut bagi memastikan hak serta kebajikan pekerja terus terpelihara.

“Siasatan yang dijalankan pada 17 April lalu mengesahkan syarikat telah melantik penyelesai dan mengeluarkan notis penamatan perkhidmatan serta-merta kepada semua pekerja terlibat.

“Daripada jumlah 1,426 pekerja yang terkesan, seramai 304 adalah pekerja tempatan manakala 1,122 lagi pekerja asing,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

KESUMA turut berkata, satu mesyuarat telah diadakan melibatkan pihak penyelesai, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyelaras tindakan lanjut termasuk berkaitan tuntutan gaji dan faedah penamatan.

“Pembayaran gaji bagi Mac 2026 telah diselesaikan manakala bayaran April 2026 sedang dalam proses penyediaan dokumen oleh pihak sumber manusia yang dilantik,” katanya lagi.

Dalam masa sama, sebahagian pekerja tempatan akan ditawarkan kontrak sementara bagi melaksanakan tugas kritikal seperti pengurusan dokumen, kewangan serta penyelenggaraan aset dan mesin kilang.

Bagi pekerja asing pula, majikan memberi jaminan kebajikan mereka termasuk penyediaan penginapan dan makanan akan terus dipelihara sehingga proses penempatan semula selesai, selain usaha sedang dijalankan untuk mendapatkan majikan baharu.

KESUMA akan terus memantau perkembangan situasi berkenaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang buruh serta menjamin proses berjalan secara teratur, telus dan adil.

Sebelum itu, penutupan operasi syarikat itu dilaporkan berpunca daripada gangguan bekalan tenaga dan bahan kimia global susulan konflik di Asia Barat yang menyebabkan peningkatan kos serta ketidaktentuan rantaian bekalan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button