Rusuhan pusat hiburan Cheras: 33 lelaki dipenjara 10 bulan, Mahkamah Tinggi batal hukuman denda
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadap 33 lelaki yang terbabit dalam insiden rusuhan di sebuah pusat hiburan di Cheras pada 5 April lalu, sekali gus membatalkan hukuman denda yang sebelum ini diputuskan Mahkamah Majistret.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas menggunakan kuasa semakan kehakiman, susulan hujahan yang dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh mula menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.
Dalam masa sama, waran tangkap dikeluarkan terhadap seorang lagi tertuduh, A. Ganesan, yang gagal hadir ke prosiding berkenaan.
Terdahulu, prosiding didengar di hadapan Aslam Zainuddin dengan hujahan dikemukakan Pengarah Pendakwaan negeri, Mohd Nordin Ismail serta peguam bela, Damien Chan.
Pada 10 April lalu, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap 32 tertuduh dan RM2,000 terhadap dua lagi selepas mereka mengaku bersalah menyertai rusuhan di pusat hiburan terbabit, yang turut membabitkan penggunaan senjata api dan bahan letupan.
Kesemua tertuduh kemudiannya dikenakan hukuman penjara jika gagal membayar denda, sebelum keputusan semakan oleh Mahkamah Tinggi mengubah hukuman tersebut kepada penjara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















