BERITA SEMASA

Rusuhan Penjara Taiping: Seorang anggota didakwa, lima lagi berdepan tindakan tatatertib

KUALA LUMPUR – Seorang anggota penjara telah didakwa di mahkamah manakala lima lagi kakitangan sedang menjalani prosiding tindakan tatatertib susulan insiden rusuhan di Penjara Taiping yang mengorbankan seorang tahanan pada Januari tahun lalu.

Jabatan Penjara dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil hasil siasatan yang dijalankan dengan kerjasama penuh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses siasatan dilakukan secara bebas, telus dan menyeluruh.

Menurut jabatan itu, seorang anggota penjara telah dituduh di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan, manakala lima lagi kakitangan sedang berdepan tindakan tatatertib yang dikendalikan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

“Tindakan ini mencerminkan komitmen jabatan dalam menegakkan prinsip akauntabiliti, integriti dan kedaulatan undang-undang tanpa melindungi mana-mana individu yang didapati melanggar peraturan atau undang-undang,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 100 tahanan di Penjara Taiping didakwa diserang kira-kira 60 warden ketika proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E pada 17 Januari 2025 menyebabkan seorang tahanan, Gan Chin Eng, 61, meninggal dunia.

Susulan kejadian itu, Panel Inkuiri Awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengesahkan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia terhadap tahanan semasa dan selepas insiden berkenaan.

Jabatan Penjara menegaskan pihaknya mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran undang-undang dalam perkhidmatan.

“Setiap aduan atau dakwaan yang diterima akan disiasat dan diteliti sewajarnya, manakala tindakan yang bersesuaian akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan yang didapati melakukan kesalahan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, jabatan itu memaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited meneruskan agenda pemodenan infrastruktur penjara, termasuk cadangan pembinaan kompleks penjara baharu bagi menggantikan institusi lama yang tidak lagi memenuhi keperluan semasa.

Menurutnya, Penjara Taiping yang kini berusia 146 tahun dan berstatus Bangunan Warisan Kebangsaan merupakan antara institusi yang dikenal pasti memerlukan penggantian.

“Pembinaan fasiliti baharu yang lebih moden, selamat dan kondusif penting bagi meningkatkan kecekapan pengurusan institusi, memperkukuh aspek keselamatan serta memelihara kebajikan prospek dan pegawai penjara,” katanya.

Jabatan Penjara menegaskan akan terus melaksanakan penambahbaikan secara berterusan bagi memperkukuh keyakinan awam terhadap sistem koreksional negara melalui tadbir urus yang telus, profesional dan berintegriti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button