Isu teater tidak senonoh, UM akan ambil tindakan
KUALA LUMPUR – Pihak Universiti Malaya (UM) akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung persembahan teater yang didakwa mengandungi unsur mencolok mata semasa pertandingan seni kampus, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Azlinda Azman berkata, pihak kementerian sudah menerima laporan daripada universiti berkenaan mengenai insiden berkenaan.
BACA JUGA:
UM mohon maaf isu adegan teater tidak senonoh, akui wujud pelanggaran syarat pertandingan
KMUM kecam pementasan teater berunsur tidak senonoh di Universiti Malaya
Beliau turut berkata, insiden tersebut mungkin berpunca daripada keterujaan pelajar dalam mengekspresi elemen seni sehingga menyebabkan mereka terlepas pandang sensitiviti budaya dan norma masyarakat.
“Saya percaya ia lebih kepada kesilapan pertimbangan dan mungkin disebabkan keterujaan mereka dalam mempamerkan seni, sehingga mengabaikan sensitiviti.
“Apa pun keadaannya, universiti mesti sentiasa peka. Kita melihat golongan muda, apabila berkarya, boleh menjadi terlalu teruja dan mungkin tidak mempunyai niat buruk,” katanya kepada pemberita selepas majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia, di sini hari ini.
Azlinda seterusnya berkata, institusi pengajian tinggi (IPT) perlu membimbing dan menasihati pelajar agar lebih peka terhadap batasan dalam ekspresi seni.
Walaupun kreativiti perlu digalakkan, ia mesti selari dengan nilai budaya Timur yang menjadi asas masyarakat Malaysia.
“Golongan muda ini berkarya tanpa niat buruk, tetapi kerana keterujaan. Tanggungjawab kita untuk menasihati dan membimbing mereka supaya sensitiviti terus terpelihara,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pelajar supaya tidak menyalahgunakan platform seni dengan cara yang boleh menimbulkan keresahan awam atau menyinggung norma masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















