JENAYAH & MAHKAMAH

3 suspek kes dera kanak-kanak disambung reman enam hari

KUALA TERENGGANU – Tiga individu termasuk dua lelaki dan seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan akibat penderaan, disambung reman selama enam hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood sehingga 25 April ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak polis.

Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun itu sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang kira-kira jam 3.46 petang pada 13 April lalu selepas kanak-kanak berkenaan dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan pada beberapa bahagian tubuh mangsa termasuk lebam dan luka pada dada kiri, kedua-dua paha serta betis kanan.

“Turut dikesan tanda bengkak dan perubahan pada beberapa bahagian badan yang menunjukkan kemungkinan berlaku kecederaan serius,” memetik BH Online.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah komplikasi iskemia anggota badan akut akibat kecederaan patah tulang paha yang menekan salur darah utama.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa tidak menerima rawatan segera sehingga membawa kepada komplikasi yang meragut nyawa,” katanya lagi.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Difahamkan, salah seorang daripada suspek merupakan bapa angkat kepada mangsa.

Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek dalam kejadian berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button