BERITA SEMASA

Air bertakung di SMK Dengkil berlarutan lebih tiga tahun, PIBG harap tindakan segera

DENGKIL – Masalah air longkang bertakung di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil, di sini yang berlarutan sejak tiga tahun lalu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warga sekolah dan ibu bapa.

Ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Azwan Muhamad, 47, berkata, isu tersebut berpunca daripada sistem perparitan di dalam kawasan sekolah yang bersambung dengan longkang luar.

Keadaan longkang di dalam kawasan SMK Dengkil yang tidak berfungsi menyebabkan air kehijauan bertakung. – Foto Ridhwan Syahir Rusli/Malaysia Tribune

Menurutnya, aliran air tidak lancar menyebabkan takungan air bertukar menjadi kehijauan, berbau busuk dan berisiko menjejaskan kesihatan.

“Baru-baru ini, saya telah buat aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) kepada Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), namun tindakan yang diambil setakat ini hanya melibatkan kerja-kerja pembersihan sampah tanpa menyelesaikan punca utama masalah.

“Masalah ini sudah berlarutan lebih tiga tahun. Walaupun kakitangan datang membersihkan sampah, air tetap tidak mengalir dan terus bertakung,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune, hari ini.

Azwan yang bekerja sendiri berkata, beliau mewakili PIBG sekolah berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan lebih menyeluruh bagi memastikan isu tersebut diselesaikan segera.

longkang
Azwan berharap tindakan segera dapat diambil pihak berkuasa yang terlibat bagi mengatasi masalah tersebut. 

Tambahnya, satu lagi aduan SISPAA telah dikemukakan pada 5 Mac lalu, namun sehingga kini masih tiada tindakan susulan yang berkesan.

“Setiap kali hujan lebat, air longkang akan melimpah dan memasuki kawasan jalan di dalam sekolah.

“Keadaan ini bukan sahaja mengganggu persekitaran pembelajaran, malah boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada pelajar,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak sekolah melalui pengetua SMK Dengkil telah menghantar surat rasmi kepada MPSepang sebagai usaha mendapatkan penyelesaian.

longkang
Longkang yang tersumbat menyakitkan mata yang memandang.

Selain itu, Azwan berkata, berdasarkan status yang pernah dimuat naik di Facebook, konsesi Jabatan Kerja Raya (JKR) pernah hadir membuat pemeriksaan di lokasi berkenaan, namun sehingga kini masih tiada tindakan penyelesaian yang konkrit.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan dapat bekerjasama bagi mengenal pasti punca sebenar masalah dan melaksanakan penyelesaian jangka panjang demi kesejahteraan warga sekolah.

“Sebagai wakil PIBG, kami amat berharap isu ini dapat diberi perhatian serius dan diselesaikan segera bagi memastikan persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button