BERITA SEMASA

PDRM perkukuh kawalan di 36 ‘hotspot’ stesen minyak sempadan

IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkat kawalan di stesen minyak berhampiran sempadan negara menerusi pelaksanaan Ops Tiris 4.0 bagi mengekang ketirisan bahan api bersubsidi yang semakin membimbangkan.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Fisol Salleh berkata, seramai pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama elemen kontinjen telah digerakkan ke lokasi dikenal pasti sebagai berisiko tinggi.

Menurutnya, sebanyak 36 stesen minyak diklasifikasikan sebagai ‘hotspot’, manakala 55 lagi dikenal pasti sebagai lokasi berisiko susulan peningkatan aktiviti penyelewengan.

“Situasi ini dipercayai dipengaruhi faktor semasa termasuk dinamika krisis tenaga global yang memberi tekanan kepada bekalan dan harga bahan api,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, penugasan berkenaan mula dilaksanakan seawal jam 6 pagi melibatkan enam negeri sempadan iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak.

Operasi dijalankan secara syif dengan kehadiran berterusan anggota PGA dan elemen pengoperasian kontinjen bagi memastikan pemantauan lebih efektif.

“Tumpuan diberikan kepada stesen minyak yang beroperasi antara jam 6.30 pagi hingga 11.30 malam, iaitu waktu puncak urus niaga yang dikenal pasti berpotensi tinggi berlaku penyelewengan.

“Bagi stesen yang beroperasi 24 jam, pemantauan dijalankan secara berterusan tanpa henti,” katanya lagi.

Tambah beliau, langkah itu merupakan usaha bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memperkukuh penguatkuasaan di kawasan sempadan.

“Usaha ini penting bagi memastikan bahan api bersubsidi disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak serta mengelakkan kerugian kepada negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, PDRM akan terus mempertingkat keberkesanan operasi melalui pemantauan berterusan, pengukuhan risikan serta kerjasama strategik dengan agensi berkaitan.

Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan penyelewengan bahan api bersubsidi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button