POLITIK

PRU-16: AMANAH sasar bertanding di Parlimen Putrajaya

PUTRAJAYA – Parti Amanah Negara (AMANAH) menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya tiga hingga empat kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata, antara kerusi yang dikenal pasti ialah Putrajaya, Labuan dan Titiwangsa.

Menurutnya, jika berlaku pertandingan tiga penjuru, AMANAH berhasrat bertanding lebih banyak kerusi berbanding PRU lalu yang hanya menyaksikan parti itu bertanding satu kerusi.

“Jika bertanding di bawah Pakatan Harapan (PH) dalam situasi tiga penjuru, kita sasarkan sekurang-kurangnya tiga kerusi Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas majlis ramah mesra Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, pemilihan Putrajaya sebagai antara sasaran utama adalah kerana kawasan itu mempunyai jumlah pengundi yang kecil dan majoritinya terdiri daripada penjawat awam yang diyakini mampu menilai prestasi Kerajaan Perpaduan dengan lebih baik.

Sehubungan itu, beliau berharap rakan dalam PH memberi laluan kepada AMANAH untuk bertanding di kerusi berkenaan, selain Labuan dan Titiwangsa.

Dalam masa sama, beliau menegaskan AMANAH akan akur terhadap sebarang keputusan gabungan sekiranya calon berprofil tinggi diletakkan di mana-mana kerusi terbabit.

“Kita sentiasa mengutamakan kerjasama, tolak ansur dan menghormati keputusan pimpinan demi memastikan kekuatan gabungan,” ujarnya.

Menyentuh mengenai calon, beliau memaklumkan senarai pendek telah dikenal pasti melibatkan pimpinan kawasan, pemuda dan wanita, namun keputusan muktamad hanya akan dibuat pada masa yang sesuai.

Beliau turut menjangkakan PRU-16 tidak akan diadakan tahun ini berikutan faktor geopolitik global dan cabaran ekonomi semasa, sebaliknya berkemungkinan berlangsung pada tahun hadapan.

Katanya, penentuan calon dijangka dimuktamadkan pada awal tahun depan selepas beberapa pilihan raya negeri seperti Melaka dan Johor selesai.

“Gerak kerja di peringkat akar umbi perlu diteruskan tanpa menunggu pengumuman calon,” katanya.

Di peringkat nasional pula katanya, AMANAH menyasarkan sekitar 30 hingga 40 kerusi Parlimen untuk ditandingi, dengan tumpuan di negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, selain mengekalkan kekuatan di Selangor, Johor dan Melaka.

Mengulas situasi kerjasama politik, beliau berkata PH cenderung kepada pertandingan dua penjuru, namun Barisan Nasional (BN) dilihat lebih cenderung bertanding secara bersendirian, khususnya di Johor.

Justeru katanya, AMANAH bersedia menghadapi kemungkinan pertandingan tiga penjuru melibatkan Perikatan Nasional (PN) sekiranya rundingan tidak mencapai kata sepakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button