POLITIK

Muhyiddin desak PN segera isi kekosongan Ketua Pembangkang

KUALA TERENGGANU – Perikatan Nasional (PN) disaran segera melantik Ketua Pembangkang bagi menghindari spekulasi berpanjangan yang boleh mencalar imej gabungan itu.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan pelantikan itu tidak boleh terus ditangguhkan, walaupun sidang Parlimen dijadualkan bermula pada Jun depan.

“Kalau dibiarkan kosong terlalu lama, akan timbul pelbagai andaian yang tidak memberi gambaran baik kepada PN.

“Saya menunggu keputusan pimpinan tertinggi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk menamakan calon secepat mungkin,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Jamuan Raya Bersatu Terengganu di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Azmin Ali; Naib Presiden, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Pengerusi BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan menghantar surat rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat dalam masa terdekat bagi memaklumkan kekosongan itu serta mencalonkan nama baharu.

Jelas beliau, Majlis Tertinggi PN telah mencapai kata putus bahawa kekosongan yang ditinggalkan Datuk Seri Hamzah Zainudin itu akan diisi oleh wakil daripada PAS.

Menurut beliau, keputusan tersebut selaras dengan persefahaman dalaman komponen PN dan BERSATU yang sedia menerima mana-mana Ahli Parlimen PAS yang dicalonkan.

“Kita sudah buat keputusan di peringkat Majlis Tertinggi PN sebelum ini dan kini kerusi itu telah pun dikosongkan. Bila sudah kosong, sepatutnya ia segera diisi.

“Jadi, sesiapa sahaja Ahli Parlimen PAS yang dipersetujui untuk dicalonkan, pihak BERSATU akan menerimanya,” katanya.

Ahad lalu, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan Hamzah telah meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang.

Katanya, susulan peletakan jawatan itu, beliau telah mengarahkan Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PN untuk menghantar surat rasmi bagi memaklumkan kekosongan jawatan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama BERSATU-PAS dalam menghadapi cabaran politik semasa, selain merancang pertemuan dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di kediaman pemimpin itu di Rusila, Marang.

Katanya, momentum sokongan pengundi Melayu terhadap PN kini berada pada tahap terbaik malah mencecah sehingga 80 peratus di sesetengah kawasan termasuk di Terengganu.

“Dalam suasana kita bakal berdepan pilihan raya, sama ada peringkat negeri atau Persekutuan, bukan sahaja kekuatan parti perlu diperkukuh, malah kerjasama di peringkat PN juga mesti diperkasakan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button