Jutaan rakyat Sudan bertahan dengan hanya satu hidangan sehari
KHARTOUM – Jutaan rakyat Sudan kini terpaksa bertahan dengan hanya satu hidangan makanan sehari susulan krisis makanan yang semakin meruncing dan berpotensi merebak, menurut laporan diterbitkan sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Laporan itu dikeluarkan oleh Action Against Hunger, CARE International, International Rescue Committee, Mercy Corps dan Norwegian Refugee Council, semalam.
Mereka menyatakan bahawa perang antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang memasuki tahun ketiga, telah menyebabkan kebuluran meluas serta memaksa jutaan penduduk meninggalkan kediaman mereka dalam salah satu krisis kemanusiaan terbesar di dunia.
“Hampir tiga tahun konflik penuh keganasan, perpindahan penduduk dan taktik kepungan telah secara sistematik memusnahkan sistem makanan Sudan.
“Dari ladang ke ladang, jalan ke jalan dan pasar ke pasar sekali gus mencetuskan kebuluran besar-besaran,” menurut laporan tersebut.
Laporan itu turut menekankan bahawa berjuta-juta keluarga hanya mampu mendapatkan satu hidangan makanan sehari di dua negeri yang paling teruk terjejas akibat konflik iaitu Darfur Utara dan Kordofan Selatan.
“Sering kali, mereka terpaksa berlapar sepanjang hari tanpa sebarang makanan.
“Malah, ramai penduduk terpaksa memakan daun serta makanan ternakan bagi meneruskan kelangsungan hidup,” menurut laporan itu seperti dilaporkan Al Jazeera.
NGO berkenaan memaklumkan bahawa dapur komuniti yang diwujudkan untuk menyediakan dan berkongsi makanan secara bersama, kini berdepan kesukaran untuk menampung keperluan akibat kekurangan sumber makanan yang semakin meruncing.
Krisis itu juga diburukkan lagi oleh kemelesetan ekonomi serta perubahan iklim.
Perang di Sudan tercetus pada April 2023 antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera RSF, mencetuskan gelombang keganasan yang membawa kepada salah satu krisis kemanusiaan buatan manusia paling buruk di dunia.
Lebih 12 juta penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka, manakala lebih 33 juta lagi memerlukan bantuan kemanusiaan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 40,000 orang terbunuh dalam tempoh tiga tahun lalu, namun kumpulan bantuan percaya angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi.
Berdasarkan Pelan Keperluan dan Tindak Balas Kemanusiaan 2026, kira-kira 61.7 peratus daripada populasi Sudan iaitu 28.9 juta orang kini berdepan kekurangan makanan yang serius.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







