Rundingan 21 jam AS–Iran gagal capai kata sepakat, kedua-dua pihak kekal dengan garis merah
ISLAMABAD – Rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran yang berlangsung selama 21 jam di ibu negara Pakistan berakhir tanpa sebarang persetujuan, selepas kedua-dua pihak kekal dengan pendirian masing-masing berhubung isu keselamatan dan nuklear.
Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance berkata, Washington telah mengemukakan syarat yang jelas termasuk “garis merah” yang perlu dipatuhi Tehran, namun rundingan tidak mencapai titik persetujuan.
“Berita tidak baik ialah persetujuan gagal dicapai. Kami telah menjelaskan dengan sangat jelas mengenai garis merah kami, namun Iran tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan,” memetik Buletin TV3 online.
Beliau turut menyifatkan kegagalan rundingan itu memberi kesan lebih besar kepada Iran berbanding Amerika Syarikat, sambil menegaskan pihaknya pulang dengan “tawaran terakhir dan terbaik”.
Sementara itu, media Iran, IRIB melaporkan bahawa rundingan tersebut gagal kerana tuntutan Washington disifatkan sebagai “tidak munasabah” serta tidak mengambil kira kepentingan Tehran.
Menurut laporan itu, delegasi Iran telah berunding secara intensif selama 21 jam bagi mempertahankan kepentingan nasional negara tersebut, namun tiada kemajuan dicapai akibat perbezaan ketara antara kedua-dua pihak.
Vance dalam pada itu memaklumkan beliau telah berhubung beberapa kali dengan Presiden Donald Trump sepanjang rundingan berlangsung, selain memuji peranan Pakistan sebagai tuan rumah dan pengantara.
Beliau berkata, Amerika Syarikat masih membuka ruang kepada Iran untuk mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan, namun menegaskan isu utama rundingan adalah komitmen Tehran terhadap pembangunan senjata nuklear.
Iran bagaimanapun bertegas menafikan sebarang usaha untuk membangunkan senjata nuklear, sebaliknya menuduh Amerika Syarikat dan sekutunya meningkatkan ketegangan di rantau berkenaan.
Rundingan itu turut menyentuh isu sensitif lain termasuk laluan strategik Selat Hormuz, namun perkara tersebut tidak dibincangkan secara terperinci dalam kenyataan akhir kedua-dua pihak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








