Isu salah faham polis, petugas media akan diselesai secara baik – Polis KL
KUALA LUMPUR – Polis mengakui berlaku salah faham antara anggotanya dan petugas media ketika siasatan kes serangan terhadap sebuah pusat hiburan di Cheras, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, isu berkenaan akan diselesai secara baik antara kedua-dua pihak.
“Dalam polis melaksanakan tugas operasi ada sedikit salah faham, polis arah (wartawan) padam gambar, saya sahkan perkara itu berlaku.
“Peranan polis dan media saling melengkapi, polis jalan tugas wartawan juga jalankan tugas kadangkala ada berlaku conflict of interest.
“Apa yang saya nak, isu sebegini selesai secara baik (kerana) masing-masing ada peranan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Fadil seterusnya berkata, satu perbincangan akan diadakan antara pihak polis dan pengamal media bagi memperjelas prosedur serta mengelakkan insiden sama berulang.
Sebelum ini, akhbar Sin Chew melaporkan, tiga wartawan yang membuat liputan insiden berkenaan diarah memadam gambar yang dirakam ketika bertugas.
Kejadian itu berlaku apabila seorang wartawan wanita dihampiri dua anggota polis berpakaian preman yang memeriksa telefon bimbitnya sebelum membawanya ke dalam premis berkenaan untuk disoal siasat berkaitan rakaman ketika pasukan forensik menjalankan tugas.
Wartawan tersebut hanya dibebaskan selepas diarahkan memadam semua foto dan video yang dirakam di lokasi kejadian.
Dalam perkembangan sama, seorang pegawai penyiasat (IO) turut didakwa meminta dua lagi wartawan memadam bahan rakaman mereka.
Susulan kejadian berkenaan, Gerakan Media Merdeka (GERAMM) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) tampil mengkritik tindakan berkenaan.
Kedua-dua organisasi media itu menyuarakan kebimbangan terhadap dakwaan tindakan anggota polis yang dilihat menghalang tugas pengamal media.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut meluahkan kekesalan terhadap insiden berkenaan, sambil menegaskan wartawan mesti diberi ruang sepenuhnya untuk menjalankan tugas.
“Saya belum diberikan maklumat sepenuhnya apa yang telah berlaku, tapi saya akan berhubung dengan pihak PDRM untuk mendapatkan kepastian,” kata jurucakap kerajaan itu ketika diminta mengulas dalam sidang media selepas mesyuarat kabinet mingguan di Putrajaya.
“Secara dasarnya wartawan perlu diberikan ruang sepenuhnya untuk melaksanakan tugas selagimana mereka memperkenalkan diri mereka sebagai seorang wartawan yang bertugas,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








