BERITA SEMASA

Tiga individu cetus kekecohan ketika ucapan Azam Baki di WTC

KUALA LUMPUR – Ucapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki terganggu seketika apabila berlaku kekecohan dipercayai dicetuskan oleh tiga lelaki dalam sebuah majlis wacana di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Insiden berlaku kira-kira pukul 2.45 petang apabila dua lelaki yang berada di tempat duduk secara tiba-tiba bangun dan bergerak ke arah beliau sambil membawa sepanduk.

protes
Dua individu membawa sepanduk menggesa Tan Sri Azam Baki ditangkap kerana mengganggu ucapan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu pada satu program di WTC Kuala Lumpur.

Suasana dewan bertukar tegang apabila salah seorang daripada mereka menjerit dan cuba meluru ke hadapan pentas, sekali gus mencetuskan kekecohan dalam kalangan hadirin.

Bagaimanapun, tindakan pantas polis bantuan bersama pegawai SPRM berjaya mengawal keadaan apabila individu terbabit ditahan sebelum dibawa keluar dari dewan.

Dalam situasi tegang itu, Azam bertindak menceriakan semula suasana dengan reaksi spontan.

“Jangan alihkan TV siaran anda,” katanya dengan tenang sebelum meneruskan ucapan.

Dalam perkembangan sama, tiga individu dilihat berada di lokasi kejadian dengan salah seorang daripada mereka memakai baju tertera nama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Mandiri.

Menerusi hantaran di akaun media sosial Mandiri, kumpulan itu memaklumkan bahawa dua individu yang terlibat dalam protes tersebut ialah Hamdin Nordin dan seorang lagi individu dikenali sebagai Ahsanul Akmal.

Dalam kenyataan sama, Mandiri mendakwa kedua-dua individu berkenaan telah ditahan dan menggesa agar mereka dibebaskan segera.

“Khabarnya mereka telah ditahan, kami menggesa supaya mereka dibebaskan dengan segera,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Azam ketika ditemui pemberita selepas program berkenaan enggan mengulas lanjut mengenai insiden tersebut.

“Saya ada mesyuarat,” katanya ringkas.

Program itu diadakan bagi berkongsi pengalaman serta wawasan SPRM berkaitan transformasi institusi, selain menekankan kepentingan pendidikan dan pencegahan dalam usaha membanteras rasuah.

Pada masa sama, wacana berkenaan turut membincangkan peranan pendidikan dalam membentuk generasi berintegriti serta memupuk tanggungjawab sosial terhadap isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Majlis tersebut turut dihadiri Naib Canselor Asia e University, Noor Raihan Ab Hamid; Ketua Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Rosmamn Mohamed; serta Ahli Parlimen Bentong yang juga Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Young Syefura Othman.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button