Ceroboh zon tangkapan ikan, Maritim Malaysia tahan bot nelayan kelas C di Kuantan
KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan larangan di perairan Kuantan, tengah malam semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, bot berkenaan ditahan ketika sedang menangkap ikan sewaktu pasukan rondaan Maritim Malaysia melaksanakan operasi rutin Op MAKMUR, Op TIRIS dan Op KHAS PAGAR LAUT.
Jelas beliau, bot itu dikesan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai di kedudukan kira-kira 7.0 batu nautika Timur Tanjung Agas.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh tujuh kru warganegara Vietnam termasuk tekong, kesemuanya berusia antara 19 hingga 40 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Martitim Malaysia memaklumkan mereka yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai, serta kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.
“Bot bersama tekong, kru serta hasil laut dianggarkan seberat 300 kilogram telah diiring masuk ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pahang bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan sama.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras pencerobohan serta aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














