
Permatang Lebarun 2026 meriah di Sawah Sempadan
SHAH ALAM – Program Permatang Lebarun 2026 mencipta suasana meriah apabila menghimpunkan lebih 700 peserta di kawasan Sawah Sempadan pada 4 April.

Program yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu dimulakan dengan sesi Zumba yang bertenaga sebelum disusuli acara larian yang berlangsung dalam suasana santai dan penuh keceriaan Aidilfitri.
Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang, Selangor, Nurul Noh berkata, program berkenaan bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya platform untuk mendekati rakyat serta memahami keperluan sebenar masyarakat setempat.

“Pendekatan turun padang penting bagi memastikan suara rakyat, khususnya golongan anak muda dan pesawah, dapat didengari serta dibawa ke peringkat dasar,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Menariknya, ramai peserta tampil kreatif dengan mengenakan busana Hari Raya lengkap dengan solekan serta prop bertemakan perayaan, sekali gus menjadikan acara tersebut lebih meriah dan berwarna-warni.

Laluan larian yang berlatarbelakangkan sawah padi menghijau turut menjadi tarikan utama, mencerminkan keindahan kawasan desa serta mengangkat peranan pesawah sebagai tulang belakang bekalan makanan negara.
Dalam masa sama, program itu turut membuka ruang untuk menyorot cabaran yang dihadapi golongan pesawah seperti peningkatan kos operasi, ketidaktentuan cuaca serta isu bantuan dan subsidi.

Peserta turut diraikan dengan hidangan juadah Hari Raya seperti ketupat, mee kari, lontong dan cendol, mencerminkan semangat kekeluargaan dan perpaduan komuniti setempat.
Program tersebut turut menerima reaksi positif daripada peserta di media sosial.
Lela Noorzita berkata, program berkenaan sangat berjaya dan meriah, selain memuaskan dari segi penganjuran.
“Terbaik YB Nurul Noh… walaupun pertama kali dianjurkan, event sangat berjaya dan meriah sekali… semuanya memuaskan,” katanya lagi.
Sementara itu, Rose Rose turut meluahkan rasa teruja menyertai larian tersebut dan menyifatkannya sebagai pengalaman yang menyeronokkan dengan suasana Hari Raya yang meriah.
“Larian lebaran ini memang best… suasana hari raya sangat terasa, semua berpakaian raya, memang comel… saya memang nak join lagi tahun depan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












