PM tunai solat Jumaat bersama 1000 jemaah di Kuantan
KUANTAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Cenderawasih, di sini hari ini.
Beliau yang tiba sekitar pukul 1.15 tengah hari diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta beberapa anggota pentadbiran lain.
Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari; Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.
Dalam khutbah Jumaat bertajuk Hari Kesihatan Sedunia, jemaah diingatkan bahawa Islam amat menitikberatkan aspek kesihatan, di mana tubuh badan yang sihat membolehkan umat Islam beribadah dengan sempurna serta menyumbang kepada pembinaan tamadun yang dihormati.
Khutbah turut menekankan kepentingan mendapatkan rehat dan tidur yang mencukupi kerana ia membantu menyegarkan tubuh, menenangkan fikiran serta meningkatkan kualiti ibadah.
Seusai solat, orang ramai mengambil peluang untuk bersalaman dan bergambar dengan Perdana Menteri.
Lawatan kerja beliau di Kuantan diteruskan dengan perasmian MADANI Mart di Indera Mahkota 8 pada pukul 2.30 petang, sebelum menghadiri Himpunan Anak Pahang MADANI 2026 di perkarangan UTC Kuantan pada pukul 4.30 petang.
Pada sebelah malam, Perdana Menteri dijadual merasmikan Kejuaraan Silat Piala PMX Pendekar MADANI 2026 di Kompleks SUKPA.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















