Polis tumpas geng samun sasar jurujual emas, rampas barang kemas RM3.6 juta
GEORGE TOWN – Taktik licik kumpulan samun bersenjata yang menyasarkan jurujual barang kemas akhirnya terbongkar selepas sembilan individu diberkas dalam operasi khas polis, sekali gus menyelesaikan kes kerugian mencecah RM3.6 juta.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, operasi Op Jingga D Garden yang dijalankan bermula 26 Mac hingga Khamis itu melibatkan pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU).
Menurutnya, serbuan dilakukan di beberapa lokasi sekitar daerah Barat Daya dan Timur Laut.
“Hasil operasi tersebut, polis menahan tujuh lelaki tempatan dan dua wanita warga Indonesia berusia antara 23 hingga 43 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes samun berkumpulan bersenjatakan parang di kawasan SPU.
“Turut dirampas barang kemas seberat kira-kira 4,300 gram, sebilah parang, empat tayar bersama sportrim, tiga bentuk cincin serta dua buah kereta yang digunakan dalam kegiatan samun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kumpulan itu menjadikan jurujual yang membawa barangan kemas untuk urusan penghantaran atau jual beli di kedai emas sekitar Pulau Pinang sebagai sasaran utama.
Tambahnya, penahanan kesemua suspek berjaya menyelesaikan kes samun yang dilaporkan pada 26 Mac lalu kira-kira pukul 9.20 pagi di SPU.
“Kes tersebut melibatkan kehilangan barang kemas seberat 6,023.69 gram dengan anggaran nilai semasa kira-kira RM3.6 juta.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Menurutnya, mahkamah telah membenarkan reman terhadap lapan suspek bagi membantu siasatan lanjut, manakala seorang lagi akan dipohon reman hari ini.
Dalam pada itu, Azizee berkata, semakan mendapati tiga suspek mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.
“Seorang suspek mempunyai empat rekod jenayah dan empat rekod dadah, seorang lagi mempunyai tiga rekod jenayah serta satu rekod dadah manakala seorang lagi memiliki 17 rekod jenayah dan satu rekod dadah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








