Berita Semasa

Industri produk buluh miliki potensi besar dimajukan – Fadillah

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan industri produk berasaskan buluh mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan susulan nilai eksportnya mencatatkan peningkatan tahun lalu.

Menurut Fadillah yang juga merupakan Menteri Perladangan dan Komoditi, nilai eksport produk buluh meningkat sebanyak  66.1 peratus kepada RM14.46 juta pada 2022 berbanding RM8.7 juta pada tahun sebelumnya.

Jelasnya, sebanyak 31 peratus tanaman buluh diusahakan di Semenanjung Malaysia manakala 45 peratus di Sarawak dan 24 peratus di Sabah.

“Di Semenanjung Malaysia, keluasan taburan tanaman buluh adalah lebih kurang 229,122.57 hektar. Walaupun dari segi sumbangan nilai eksport produk ini tidak besar berbanding produk perkayuan lain, namun ia mempunyai potensi yang sangat besar untuk dimajukan dan digunakan sebagai bahan alternatif kayu untuk pelbagai jenis kegunaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Buluh Sedunia Malaysia 2023 (WBD 2023) anjuran Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini, hari ini.

Dalam majlis yang sama, Fadillah turut melancarkan buku bertajuk Industri Arang Buluh di Malaysia yang merupakan terbitan bersama MTIB dan FRIM.

Dalam pada itu, Fadillah turut menyarankan MTIB bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) dalam membangunkan industri buluh negara.

Bagi memastikan industri buluh terus berkembang maju, Kementerian Perladangan dan Komoditi menerusi MTIB membangunkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030 yang menumpukan lima teras strategik.

Tambahnya, semua pihak yang terbabit secara langsung dalam pembangunan industri itu perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan pelaksanaan pembaharuan dalam rantaian pengeluaran daripada industri huluan sehingga ke peringkat hiliran.

“Saya yakin dengan program penyelidikan, pembangunan dan galakan yang berterusan, industri buluh berupaya mengoptimumkan penggunaan sumber bahan mentah ini sebagai sumber alternatif dalam industri perkayuan,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button