BERITA SEMASA

Malaysia catat purata 30 kes buli siber setiap hari – Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Malaysia semakin berdepan ancaman keselamatan digital yang serius apabila lebih 11,000 kes buli siber direkodkan sepanjang 2024, bersamaan kira-kira 30 kes setiap hari.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, angka ini membuktikan bahawa isu keselamatan digital bukan lagi ancaman terpencil, sebaliknya masalah besar yang memerlukan ASEAN bertindak secara kolektif.

“Sekarang, satu daripada tiga pengguna internet ialah kanak-kanak. Namun ramai ibu bapa dan pembuat dasar masih tidak mempunyai gambaran penuh tentang risiko yang mereka hadapi.

“Dunia digital ini bergerak jauh lebih pantas daripada kemampuan banyak negara menanganinya. Sebab itu ASEAN tidak boleh lagi bergerak secara terpisah,” katanya ketika berucap pada Forum ICT ASEAN di sini, hari ini.

Menurut Zahid, ancaman digital kini bersifat rentas sempadan dan boleh memberi impak besar dalam sekelip mata.

“Ini jenayah tanpa pasport. Satu kandungan berbahaya boleh tersebar ke 11 negara ASEAN dalam beberapa saat,” katanya lagi.

Pada majlis sama, turut dibentangkan Pelan Tindakan Dasar Kanak-Kanak Kebangsaan 2026–2030 yang akan memberi fokus kepada perlindungan digital, literasi keselamatan siber, pengukuhan forensik digital serta sistem sokongan untuk mangsa eksploitasi dalam talian.

Zahid turut mengemukakan tiga keutamaan baharu ASEAN: mewujudkan mekanisme respons serantau bagi ancaman dalam talian, membangunkan protokol forensik digital bersama serta memperkenalkan kurikulum keselamatan digital di sekolah.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kanak-kanak dilindungi tanpa mengekang potensi mereka meneroka teknologi dan peluang digital.

UNICEF pula berkata, hanya tiga peratus murid sekolah di Malaysia berani melaporkan gangguan seksual dalam talian, menunjukkan keperluan mendesak untuk sistem pelaporan yang lebih selamat, mudah dan mesra kanak-kanak.

Forum ICT ASEAN turut menjadi platform merangka Rancangan Tindakan Serantau Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian 2026–2030, yang dijangka memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri dan komuniti dalam melindungi generasi muda di ruang siber.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button