BERITA SEMASA

Pusat Rekod JPN siap 32 hari lebih awal, tampung data rakyat hingga 30 tahun

CYBERJAYA – Projek pembinaan Pusat Rekod Pendaftaran Negara bernilai RM119 juta berjaya disiapkan 32 hari lebih awal daripada jadual, sekali gus memperkukuh pengurusan data kependudukan negara secara lebih sistematik dan selamat.

Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR), projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia itu dibina di atas tapak seluas 9.371 ekar dan menerima Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) lebih awal daripada tarikh siap asal pada 13 April ini.

KKR menjelaskan, pusat rekod itu merupakan projek penting di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang dibangunkan bagi menyediakan kemudahan penyimpanan rekod secara berpusat dan berpiawaian tinggi, termasuk mampu menampung penyimpanan sehingga 30 tahun akan datang.

“Pembinaannya mematuhi piawaian antarabangsa MS ISO 11799:2011 meliputi aspek penyimpanan, pemeliharaan serta pemuliharaan dokumen fizikal, mikrofilem dan imej digital bagi jangka panjang.

“Projek itu dilaksanakan oleh kontraktor utama NS Construction Sdn. Bhd. menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan skor melebihi 70 peratus, melibatkan pembinaan pelbagai kemudahan termasuk pejabat pentadbiran, ruang operasi, repositori, kemudahan gunasama serta bangunan sokongan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Majlis penyerahan projek itu disempurnakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), dengan bangunan tersebut dinamakan sebagai Bangunan Nilam Sari di sini, hari ini.

Selain itu, projek tersebut turut mencatat pencapaian “3 dalam 1” merangkumi penyediaan CPC, Lukisan Siap Bina dan Penyata Akaun Muktamad (SOFA), selain merekodkan sifar kemalangan kehilangan masa (Zero Lost Time Injury).

Antara nilai tambah lain ialah pelaksanaan sistem penandaan aset, penyediaan dokumen operasi dan penyelenggaraan, penggunaan Building Information Modelling (BIM) LOD 500 serta memperoleh Sijil Siap dan Pematuhan (CCC).

Menurut KKR lagi, pembangunan Bangunan Nilam Sari membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh tadbir urus serta keselamatan maklumat negara melalui penyimpanan rekod yang lebih efisien dan berintegriti.

“KKR komited untuk memastikan setiap projek infrastruktur dilaksanakan secara profesional, mematuhi piawaian ditetapkan serta memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negara,” tambah KKR.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button