BERITA SEMASA

ATM tingkat operasi di sempadan, perangi ketirisan subsidi bahan api

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperkukuh kesiapsiagaan di kawasan sempadan negara dengan memperhebat operasi bagi membanteras ketirisan serta penyeludupan bahan api subsidi.

Dalam satu kenyataan hari ini, ATM menegaskan langkah itu selaras dengan pendirian kerajaan yang tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi.

Menurutnya, aset dan sumber akan digerakkan secara menyeluruh di semua kawasan sempadan melalui pendekatan bersepadu serta tindakan penguatkuasaan lebih tegas bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan pencatutan.

“Dalam mempertingkat keberkesanan operasi, ATM turut memperluaskan penggunaan teknologi pengawasan moden termasuk aset udara tanpa pemandu (UAV) atau dron bagi pemantauan berterusan di kawasan berisiko tinggi.

“Keupayaan ini membolehkan pengesanan awal aktiviti mencurigakan, khususnya pada waktu malam serta di lokasi yang dikenal pasti sebagai hot spot penyeludupan,” menurut kenyataan ATM.

Dalam pada itu, ATM memaklumkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi penguatkuasaan turut diperkukuh melalui perkongsian maklumat secara masa nyata dan pelaksanaan operasi bersepadu.

“Kerjasama ini melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) termasuk agensi keselamatan lain, dengan rondaan dinamik dipergiatkan di kawasan sempadan serta titik pengedaran bahan api,” katanya.

Selain itu, aspek perisikan juga diperkasakan melalui pengumpulan maklumat lapangan secara lebih agresif dengan kerjasama komuniti setempat serta pihak berkuasa negara jiran bagi mengekang dalang sindiket penyeludupan.

ATM menegaskan komitmennya untuk terus memastikan keselamatan sempadan negara terpelihara, sekali gus melindungi kepentingan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button