KPK pelbagaikan import baja, kurangkan kebergantungan satu sumber
PUTRAJAYA – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menggerakkan usaha agresif termasuk memperluas sumber import melalui rundingan strategik dengan negara pembekal sedia ada dan baharu bagi memastikan kesinambungan bekalan baja negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, langkah itu diambil susulan kebergantungan Malaysia terhadap import baja yang melebihi 4 hingga 5 juta tan setahun dengan nilai pasaran dianggarkan lebih RM5 bilion.
Menurut beliau, selain itu, saluran bekalan alternatif turut diaktifkan dalam tempoh tiga hingga enam bulan di samping memastikan harga bekalan kekal kompetitif bagi mengelakkan tekanan kepada pemain industri.
“Langkah ini bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber dan meningkatkan ketahanan rantaian bekalan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bagi meringankan beban aliran tunai di peringkat awal penanaman, kerajaan menerusi Belanjawan 2026 menyediakan peruntukan besar dalam bentuk geran dan pinjaman mudah di bawah TSPKS 2.0.
Katanya, skim tersebut dirangka secara holistik termasuk merangkumi komponen pembiayaan kos baja bagi pokok pada tempoh tidak matang iaitu tahun pertama hingga tahun ketiga.
Dalam masa sama, ujar beliau, kerajaan akan mempercepatkan transformasi struktur industri melalui penggunaan baja berasaskan biojisim, biogas dan biochar serta pengukuhan amalan ekonomi kitaran dalam sektor perladangan.
Tambahnya, pendekatan itu juga bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia import dalam jangka panjang.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kesuburan tanah dan hasil tanaman, malah mengurangkan pendedahan negara kepada ketidaktentuan pasaran global,” katanya.
Menurut beliau, kementerian turut memulakan libat urus bersama pengeluar baja tempatan bagi mengutamakan bekalan untuk pasaran domestik, menstabilkan harga melalui pengeluaran tempatan dan meningkatkan kapasiti jangka sederhana industri baja negara.
Katanya, kerajaan akan terus memantau perkembangan global secara rapi serta mengambil langkah proaktif bagi melindungi kepentingan negara.
“Keutamaan kerajaan adalah memastikan bekalan baja mencukupi, melindungi pekebun kecil dan menjamin sektor agri-komoditi negara terus kukuh serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global,” katanya.
Beliau menambah, langkah-langkah tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjamin keselamatan bekalan input pertanian, melindungi kesejahteraan rakyat serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
“Sektor agri-komoditi akan terus menjadi tunjang penting ekonomi Malaysia dan kerajaan komited memastikan ia kekal stabil, mampan serta berdaya saing,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








