JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki belasah isteri hamil dipenjara empat bulan

MELAKA – Seorang penghantar makanan dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah membelasah isterinya yang sedang hamil, dua minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Aidil Azahar Rahmat, 22, membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nur Azhiimah Abd. Razak, 20, dengan cara menumbuk bahagian belakang kepala mangsa.

Tertuduh juga didakwa menampar muka, memukul kepala dan menolak mangsa sehingga jatuh.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 3.59 pagi dan 4.06 pagi masing-masing di kaki lima serta dalam premis K Games Family Karaoke Kompleks Perniagaan Kota Syahbandar dalam daerah Melaka Tengah, pada 15 Mac 2026.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

BACA JUGA:
Lelaki pukul, langgar isteri hamil ditahan
[VIDEO] Polis buru suspek dirakam belasah isteri hamil

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa tampil membuat laporan polis selepas gagal menghubungi anak perempuannya yang keluar rumah bersama bayi lelakinya berusia setahun dua bulan.

Ibu mangsa kemudian bertindak memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) premis pusat karaoke berkenaan dan mendapati tertuduh bertindak memukul, melempang, menarik rambut dan melanggar kepala mangsa yang sedang terbaring dengan motosikal.

Mangsa dibawa ke Hospital Melaka dengan menaiki ambulans dan dirawat di Zon Merah dan suspek berjaya ditahan empat hari kemudian.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan dengan alasan menyesali perbuatannya, manakala ibunya mengalami strok.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira faktor tertuduh adalah suami kepada mangsa, individu yang sepatutnya melindungi isterinya, selain kejadian berlaku ketika wanita itu sedang hamil.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan ia dijalankan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 19 Mac 2026.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button