BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki hina Nabi Muhammad di Facebook ditahan polis

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan ditahan polis semalam kerana disyaki memuat naik komen berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di Facebook.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek berusia 47 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Butterworth pada pukul 8.32 malam di Butterworth, Pulau Pinang.

Menurut beliau, tangkapan itu dibuat susulan laporan diterima pukul 1.30 pagi pada 22 Mac lalu berhubung hantaran tular oleh pengguna akaun Facebook bernama ‘Sakti Sakti Sakti’.

“Ketika tangkapan dibuat, polis turut merampas telefon bimbit jenis Vivo 29T dipercayai digunakan suspek untuk memuat naik kenyataan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mahkamah membenarkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 27 Mac bagi membantu siasatan.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan agama serta Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan.

Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Dalam pada itu, Fadil memberi amaran keras kepada orang ramai supaya menghentikan penyebaran kandungan yang menyentuh isu sensitif membabitkan agama, kaum dan institusi diraja (3R).

“Pihak polis tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang sehingga boleh menggugat keharmonian negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button