Jenayah & Mahkamah

Pendakwaraya fail rayuan keputusan Bung Moktar, isteri bebas kes rasuah

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan dilaporkan memfail notis rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan (DNA) Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Zizie Izette Samad daripada pertuduhan rasuah berhubung pelaburan Felcra bernilai RM150 juta.

Laporan portal FMT hari ini menyebut, pemfailan tersebut disahkan oleh Peguam Teh See Khoon yang mewakili Zizie.

Beliau berkata, notis rayuan itu sudah difailkan minggu lalu dan salinannya dipanjangkan kepada pihak pembelaan.

“Saya boleh mengesahkan pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di pendaftar Mahkamah Tinggi dan kami sudah dimaklumkan,” katanya dalam laporan tersebut.

Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan itu pada tarikh yang ditetapkan selepas pengurusan kes.

Dalam keputusan pada 7 Sept lalu, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf apabila mengarahkan pasangan itu membela diri.

Beliau berkata ia adalah satu ketidakadilan kerana tiada bukti Bung menerima wang melalui isterinya, yang dituduh bersubahat dengannya.

Show More

Related Articles

Back to top button