Polis buru lelaki tunggang RXZ sambil bakar mercun
SEGAMAT – Polis sedang mengesan seorang lelaki selepas tindakannya menunggang motosikal sambil membakar mercun tular di media sosial, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan awam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan M Nantha berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10.30 malam Ahad lalu di Kilometer 185 Jalan Johor Bahru–Seremban dan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ.
Menurut beliau, pihak polis memandang serius perbuatan berbahaya itu dan sedang giat mengesan suspek bagi membantu siasatan lanjut.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu dengan menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9325811,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang serta membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
Terdahulu, satu rakaman video tular memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal sambil membakar mercun, dengan percikan api jelas kelihatan di tangannya sebelum bahan letupan itu dilempar ke atas jalan.
Aksi berbahaya tersebut mengundang kecaman orang ramai yang menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab dan berisiko tinggi mencetuskan kemalangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







