SPRM cadang tiga akta baharu, tutup ruang seleweng dana awam
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan sekurang-kurangnya tiga akta baharu digubal bagi mengekang salah guna serta penyelewengan dana awam yang dilihat semakin membimbangkan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, langkah itu penting bagi menutup kelompongan undang-undang sedia ada, khususnya melibatkan kutipan dana awam termasuk oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, akta pertama yang dicadangkan ialah berkaitan salah laku dalam jawatan awam, bertujuan memastikan sebarang kecuaian atau penyelewengan oleh penjawat awam terhadap dana rakyat boleh diklasifikasikan sebagai kesalahan jenayah yang jelas.
“Akta ini akan memperkukuh tindakan terhadap ketirisan dan salah laku dana yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat seperti sering didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara,” memetik BH online.
Azam berkata, akta kedua melibatkan kebajikan dicadangkan bagi mengawal penyalahgunaan dana derma awam yang dikutip atas nama bantuan kepada golongan memerlukan.
“SPRM mengesan peningkatan kebimbangan terhadap salah guna dana oleh pihak yang mempunyai akses kepada sumbangan orang ramai dan korporat,”katanya lagi.
Beliau berkata, keperluan akta pendanaan politik yang lebih ketat bagi menangani isu konflik kepentingan, rasuah serta pengaruh tidak wajar dalam sistem politik negara.
“Ia termasuk keperluan pendedahan sumbangan dan pinjaman politik secara telus bagi memastikan integriti sistem demokrasi terus terpelihara,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Azam mendedahkan lebih lima NGO kini sedang disiasat SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana, termasuk kutipan derma atas nama Palestin.
Menurutnya, trend kutipan dana awam atau crowdfunding yang semakin berleluasa tanpa mekanisme semak dan imbang yang jelas membuka ruang kepada penipuan serta salah guna.
“Ada juga individu termasuk pempengaruh media sosial yang aktif mengutip dana kononnya untuk tujuan kebajikan, namun siasatan mendapati wujud pelbagai modus operandi,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, walaupun Malaysia mempunyai beberapa peruntukan undang-undang seperti Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan, namun ia masih belum mencukupi untuk menangani isu penyelewengan dana awam secara menyeluruh.
Katanya, akta lain seperti Akta Prosedur Kewangan 1957 serta Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA 2023) juga memainkan peranan dalam memastikan disiplin fiskal dan ketelusan kewangan negara.
“FRA 2023 misalnya bertindak sebagai garis panduan penting bagi memastikan kerajaan berbelanja secara bertanggungjawab serta mengelakkan pembentukan liabiliti luar jangka seperti jaminan kerajaan dan bailout,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan penggubalan akta baharu amat diperlukan bagi memastikan setiap sen wang rakyat diurus secara telus, sekali gus mengelakkan ketirisan dan penyelewengan berskala besar pada masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








