KKM kompaun petugas pejabat kesihatan merokok di premis makanan
PUTRAJAYA – Seorang penjawat awam dari Pejabat Kesihatan Daerah Gombak yang tular merokok di sebuah premis makanan di Rawang dikenakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Dalam satu kenyataan, KKM memaklumkan kompaun terhadap individu terbabit adalah mengikut Seksyen 16(2) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) kerana merokok di tempat makan.
“Tindakan tatatertib dalaman akan turut diambil selaras Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib), bagi memastikan integriti perkhidmatan awam terus terpelihara,” katanya.
Tegas KKM, premis makanan merupakan antara 28 kawasan larangan merokok yang diwartakan bagi melindungi kesihatan awam dan pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga kerja yang melanggar undang-undang.
“KKM akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara tegas, adil dan konsisten,” menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu, tular dakwaan dalam media sosial bahawa seorang kakitangan KKM merokok di sebuah restoran di Rawang.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, merakamkan penghargaan kepada individu yang tampil melaporkan kejadian berkenaan.
Beliau menegaskan tiada mana-mana pihak mengatasi undang-undang, termasuk warga KKM sendiri yang seharusnya menjadi contoh teladan kepada masyarakat.
“Saya telah mengarahkan tindakan tegas diambil serta-merta. Individu terbabit telah dikenakan kompaun di bawah Akta 852 dan akan berdepan tindakan tatatertib,” katanya menerusi hantaran di akaun rasmi X miliknya.
Pada masa sama, beliau turut menggesa orang ramai supaya membantu melaporkan kejadian seumpama itu melalui saluran rasmi, termasuk akaun X @KKMPutrajaya sekiranya berlaku di mana-mana premis larangan merokok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








